Azizulhasni merupakan pilihan untuk memenangi pingat emas keirin dalam Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang Ogos lalu, namun menerima kejutan daripada Angsuthasawit, yang dilatih bekas pelumba negara Josiah Ng, untuk sekadar memenangi gangsa dalam acara kegemarannya itu.

Kali ini, Angsuthasawit sekadar menamatkan perlumbaan akhir di Nilai dengan menduduki tempat kelima.

Azizulhasni, bagaima­na­pun, berkata dia tidak memikirkan soal untuk membalas dendam dalam perlumbaan itu sebaliknya hanya fokus terhadap usahanya mempertingkatkan prestasi menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya berlumba dalam kejohanan ini tanpa fokus untuk menebus kekalahan atau apa sahaja yang telah berlaku dalam Sukan Asia. Episod di sana (Jakarta) sudah habis.

“Biasalah dalam perlumbaan boleh ada kesilapan dan ada ketika kita tidak bernasib baik, jadi semua itu sudah dinilai dan kini masa untuk memperbaiki segala kelemahan tersebut dan fokus terhadap misi membawa pulang pingat emas dari Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Pingat perak acara itu dimenangi pelumba Indonesia, Puguh Admadi sementara gangsa menjadi milik pelumba Taiwan, Shih Hsin Hsiao.

Sementara itu, ketua jurulatih negara John Beasley tidak mahu peminat sukan berbasikal negara terus membandingkan dua pelumba tersebut sambil menyifatkan Azizulhasni berada di satu tahap yang berbeza sebagai antara pelumba terbaik dunia.

Katanya, tumpuan serta kerja keras Azizulhasni serta skuad negara kini adalah terhadap usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 selain mencipta kejayaan dalam Kejohanan Asia 2019 diikuti Kejohanan Dunia 2019 masing-masing pada Januari dan Februari.

“Pelumba Thailand ini bertuah dalam Sukan Asia. Dia bukan ancaman kepada kami dan anda dapat melihat Azizulhasni mudah mengalahkannya hari ini. Azizulhasni adalah juara dunia dan banyak kali menaiki podium di pentas dunia. Oleh itu hentikan perbandingan antara mereka,” katanya.

Kemenangan hari ini bermakna Azizulhasni membawa pulang dua emas setelah menewaskan Admadi dalam perlumbaan akhir acara pecut semalam.