Pelumba berusia 31 tahun itu, terpaksa bekerja keras mengejar dari belakang pelumba pecut China, Xu Chao sebelum mengatasinya menerusi foto penamat dalam aksi penentuan juara.

Azizul yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman mengakui pada pusingan kelayakan prestasinya agak merosot dan terpaksa menempah jalan sukar namun tetap mengekalkan fokus.

Jelasnya, dia sudah banyak kali bertemu dengan Xu Chao dan mengenali dengan jelas cara kayuhan lawannya itu.

“Alhamdulillah. Sedikit me­rosot dalam pusingan kelayakan apabila saya berdepan masalah hingga meletakkan saya di tempat ke-10, akibatnya pusingan seterusnya saya perlu berdepan lawan lebih sukar.

“Saya cuba fokus dan memberikan yang terbaik dengan matlamat layak ke final. Saya akhirnya berjaya dan memenangi emas menewaskan Xu Chao.

“Kami telah bertemu dalam saingan pecut banyak kali, boleh katakan setiap kali berjumpa, persaingan pasti sengit, namun pujian kepada John Beasley (jurulatih) yang memberi saya taktik dan arahan sangat baik yang membawa kepada kemenangan saya,” katanya menerusi status dalam Instagram azizulawangofficial.

Kemenangan menerusi acara pecut tersebut merupakan yang kelima buat Azizul dalam ACC selepas 2008, 2009, 2014 dan 2017. Selain pecut, Azizul juga pernah memenangi emas dalam acara keirin pada 2007, 2008 dan 2015, termasuk pecut berpasukan tahun 2009.

Sementara itu, rakan senegara Shah Firdaus Sahrom yang tewas kepada Azizul dalam separuh akhir, memenangi gangsa setelah menewaskan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe.