Azizulhasni berkata, dia kini sudah tidak sabar untuk memulakan persaingan individu terutama selepas mempamerkan aksi positif dalam acara pecut berpasukan semalam.

“Saya berada dalam prestasi terbaik, begitu juga dengan Muhd. Shah Firdaus Sahrom serta Muhd. Fadhil Mohd. Zonis selepas mencipta kejutan meraih pingat perak dalam acara pecut berpasukan.

“Tumpuan kini terarah untuk acara individu kategori pecut dan keirin yang mana saya serta Shah Firdaus akan bersaing.

“Kejayaan sebelum ini telah memberi motivasi tambahan buat kami dan saya juga telah berbincang dengan Shah Firdaus agar lebih tenang khususnya di peringkat kelayakan nanti kerana jika kami berdua dapat layak ke perlumbaan akhir, peluang meraih pingat emas lebih cerah.

“Saya akui peluang untuk acara keirin lebih tinggi tetapi saya mahu fokus kepada acara pecut individu terlebih dahulu yang saya sasarkan untuk berada dalam kedudukan tiga pelumba terbaik dalam pusingan kelayakan untuk meraih slot final,” kata Azizulhasni.

Semalam, skuad pecut berpasukan lelaki negara meraih pingat perak dan turut memperbaharui rekod kebangsaan dalam pusingan kelayakan dengan catatan 43.934 saat di Velodrom Antarabangsa Jakarta. – UTUSAN