Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Azizul atlet emas ke-111

AZIZULHASNI AWANG 3
AZIZULHASNI AWANG

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Misi tercapai. Angka keramat 111 pingat emas dipenuhi hari ini dan kebetulannya Azizulhasni Awang menjadi atlet yang memenuhi sasaran itu menjadikannya lebih manis.

Ini adalah pingat emas individu pertama jaguh lumba basikal dunia itu dalam Sukan SEA. Pencapaian terbaiknya dalam temasya dwitahunan itu sebelum ini adalah meraih dua pingat perak iaitu dalam acara 1,000m ujian masa dan pecut di Korat, Thailand.

Kali ini dia mencapai apa yang diidamkannya selepas menewaskan pelumba pelapis Muhammad Shah Firdaus Sahrom 2-0 dalam perlumbaan akhir 200 meter pecut di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Azizulhasni juga dijangka meraih emas keduanya apabila acara kegemarannya iaitu keirin berlangsung pada hari terakhir lumba basikal esok.

Sebelum itu, keadaan cemas seketika dalam kem lumba basikal negara apabila Azizulhasni tergelincir dan terjatuh ketika bersaing dalam separuh akhir namun dia kemudian bangkit untuk menewaskan pelumba Indonesia, Puguh Admadi 2-0.

Malaysia pada awalnya dijangka boleh mengumpul 112 pingat emas hari ini tetapi Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri tewas mengejut kepada Calvin Sim dari Singapura dalam perlumbaan omnium untuk pingat perak walaupun mendahului pada awal persaingan.

Peminat bagaimanapun masih boleh berpuas hati kerana jaguh berbasikal negara mengutip tiga daripada empat pingat emas. Dua lagi emas negara dimenangi oleh Eiman Firdaus Mohd. Zamri dalam acara 4km kejar mengejar individu dan Fatehah Mustapa dalam acara pecut wanita.

Secara keseluruhannya Malaysia mengutip 15 emas hari ini, bermula dengan atlet gimrama menyapu bersih lima pingat emas individu yang dipertandingkan di MITEC. Pingat emas lain dimenangi dalam acara terjun (tiga), skuasy (dua), silat (satu) dan hoki wanita.

Walaupun masih ada 67 pingat emas lagi dipertandingkan dalam baki dua hari temasya, kedudukan Malaysia di tempat teratas carta pungutan pingat tidak akan terjejas walau apapun keputusan yang diperoleh selepas ini.

Juara 13 kali dan juara dua edisi sebelum ini Thailand, yang pada awalnya dijangka akan memberikan cabaran hebat kepada kontinjen negara, ketinggalan terlalu jauh dengan hanya 60 pingat emas dan disaingi sengit oleh Vietnam yang mengumpul 54 emas untuk merebut kedudukan kedua keseluruhan.

Ini adalah kali kedua Malaysia muncul juara keseluruhan selepas kali pertama melakukannya di tempat sendiri pada 2001 dengan kutipan 111 pingat emas.

Kutipan pingat emas kontinjen negara boleh meningkat lagi apabila acara lumba basikal trek disambung esok dengan lima lagi pingat emas dipertaruhkan manakala terjun pula menyediakan tiga emas esok dan dua lagi pada Rabu. Malaysia juga dijangka boleh memenangi beberapa lagi acara silat yang menawarkan 16 pingat emas esok di Stadium Juara.

Sementara itu demam bola sepak menyaksikan penyokong menyerbu Stadium Shah Alam untuk membeli tiket perlawanan akhir antara Malaysia dengan Thailand. Beberapa insiden penyokong lemas dalam lautan manusia ketika beratur untuk membeli tiket berlaku manakala orang ramai dilihat beratur hingga kira-kira tiga kilometer.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain