Malah pengurus Aru, Alexan­der Vinokourov dari pasukan Astana secara terbuka menganggap Froome kini tidak lagi kebal dan sudah boleh dikalahkan bila-bila masa berbanding ketika menjuarai jelajah paling berprestij di dunia itu pada 2013, 2015 dan 2016 apabila tidak langsung memberi peluang pelumba lain untuk memintas.

“Ini menunjukkan Froome ti­dak lagi kebal dan sudah boleh dikalahkan sekarang,” katanya mengulas kedudukan terbaharu itu yang menyaksikan ini merupakan kali kedua dalam tempoh empat tahun Froome menerima nasib serupa itu di Jelajah Perancis.

Dengan garisan penamat ter­letak di laluan pendakian, Aru menggunakan kepakaran mendakinya untuk memecut pada 100 meter terakhir untuk meninggalkan Froome 22 saat di belakangnya walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Peringkat ke-12 itu dimenangi pelumba Perancis, Romain Bardet yang memulakan serangan lebih dahulu diikuti pelumba Colombia, Rigoberto Uran di tempat kedua manakala Froome yang gagal menghambat tiga pelumba di depannya sekadar di tempat ketujuh.

Dengan keputusan itu, kelebi han 18 saat yang dimiliki Froome ke atas Aru sebelum ini gagal dipertahankan sebaliknya Aru kini muncul pendahulu keseluruhan dengan memiliki kelebihan enam saat pula di depan juara bertahan dari pasukan Sky itu.

"Ia pecutan terakhir yang sukar di laluan pendakian. Saya pernah menghadapi situasi sama di Jelajah Sepanyol sebelum ini. Jadi saya memang sudah bersedia menghadapinya,” kata Aru yang berjaya mengekori kayuhan menyerang yang dilakukan Bardet dan Uran.

Aru bagaimanapun tidak mahu mendabik dada dengan kejayaan merampas jersi kuning itu kerana perlumbaan masih berbaki sembilan peringkat lagi.

"Perjalanan masih jauh untuk bergelar juara keseluruhan. Peringkat ke-13 satu lagi saingan penting kerana ada lagi pendakian. Ia tampak bahaya dan sukar,” tegas Aru. – AFP