FATEHAH MUSTAPA memenangi empat pingat emas ketika Sukan SEA 2017 di samping memecahkan dua rekod kebangsaan pada Ogos lalu.

Atlet berusia 28 tahun kelahiran Terengganu itu berkata, pemilihannya sebagai pemenang diharap mampu mendorongnya beraksi lebih baik terutama menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada April dan Ogos 2018 nanti.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana memilih saya sebagai Olimpian Wanita 2017. Saya percaya anugerah itu akan memberi suntikan semangat kepada saya untuk menghadapi temasya besar tahun depan.

“Ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada penglibatan wanita dalam sukan lumba basikal di negara ini,” katanya yang mencipta sejarah muncul pelumba basikal trek wanita pertama memenangi anugerah itu yang diperkenalkan pada 1993.

Fatehah yang tidak dapat menghadiri majlis anugerah dan makan malam MOM itu kerana sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia berkata demikian menerusi rakaman sidang video sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang semalam.

Pemilihan Fatehah itu sekali gus memecah dominasi atlet terjun, renang, skuasy, boling, badminton, menembak dan olahraga yang banyak menguasai kategori wanita sebelum ini.

Dia dipilih berdasarkan kejayaannya muncul pelumba basikal paling banyak memenangi emas dalam satu temasya iaitu ketika Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) pada Ogos lalu.

Dalam temasya KL2017 itu, Fatehah menyumbang emas dalam acara keirin, 200 meter pecut, pecut berpasukan dan 500 meter ujian masa. Dia juga berjaya memecahkan dua rekod kebangsaan iaitu dalam acara 500 meter ujian masa dan 200 meter pecut.