Ahmad Syazrin Awang Ilah
Ahmad Syazrin Awang Ilah

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu kini percaya dia berada pada kemuncak prestasi dan meletakkan sasaran untuk mengungguli kilauan gangsa pada penampilan pertama pada temasya dwitahunan tersebut.

Pelumba berbadan sasa itu merakam masa 31.818 saat untuk muncul juara kategori lelaki elit di laluan sepanjang 0.336 meter de­ngan purata kelajuan 38.016 kmj.
Elmi Jumari, jagoan BMX dari Selangor, menduduki tempat kedua manakala seorang lagi pelumba Terengganu, M. Ibnu Hasyimie Omar menggondol pingat gangsa.

Acara wanita elit turut dimenangi pelumba Terengganu, Noor Quraataina Mamat manakala Ariana Nurminda Ariffin dari Sarawak menduduki tempat ke­dua dan tempat ketiga diraih pelumba Sabah, Natahsya Soon.

“Saya menang kejohanan kebangsaan 2016 di Petaling Jaya tahun lalu. Ini bermakna saya juara bertahan. Saya tahu hanya Elmi yang boleh mencabar saya. Bagaimanapun, ini tak bermakna pelumba lain tak kuat. Apa-apa sahaja boleh berlaku pada hari perlumbaan.

“Cuma hari ini saya berada pada prestasi yang cukup baik dan yakin boleh menang selesa ke atas pelumba lain, katanya.

Ahmad Syazrin percaya de­ngan prestasi yang dipamerkan­nya pada Kejohanan BMX Kebangsaan 2017, dia mampu mencabar pelumba dari Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura dalam Sukan SEA 2017 nanti.

“Semua orang tahu pelumba Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura adalah peserta pilihan untuk menang pingat. Bagaimana­pun, saya sudah pantau prestasi semua pelumba Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura.

“Rasanya saya boleh naik podium sekurang-kurangnya menang pingat gangsa. Saya yakin saya boleh melakukan kejutan sekali pun BMX tak disasarkan untuk menggondol sebarang pingat dalam Sukan SEA 2017,” katanya.

Dia turut mensasarkan kejayaan BMX Kebangsaan kali ketiga berturut-turut pada 2018 dan berjanji akan meningkatkan corak latihan untuk mengekalkan kecemerlangan.

Dalam pada itu, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab menegaskan BMX dianggap sudah berjaya dan setanding dengan disiplin trek serta lebuh raya sekiranya mampu menggapai kilauan pingat.

“Kelebihan berlumba di tempat sendiri harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ahmad Syazrin dan Elmi. Mereka harus bijak memanfaatkan sokongan peminat yang mengharap­kan kilauan pingat,” katanya.
MNCF tidak mensasarkan sebarang pingat daripada BMX kerana Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura dianggap kuasa terbesar tradisi dalam disiplin tersebut.