Shaiful, 21, bagaimanapun tidak terkilan jersi itu menjadi milik pelumba XSpeed United, Evan Burtnik yang kelebihan dua mata selepas memungut mata di zon pecutan pertama di Pontian.

Secara keseluruhan Shaiful merupakan pendahulu keseluruhan pelumba muda terbaik dengan catatan masa 2 jam, 25 minit 24 saat.

Menurutnya, dia yakin akan dapat merebut jersi hitam atau menang podium pada perlumbaan peringkat seterusnya dalam kejohanan tersebut.

"Saya datang pada perlumbaan kali ini untuk menang dan meletakkan sasaran menang di mana-mana peringkat perlumbaan TdIJ ini.

"Mungkin saya akan cuba pada saingan perlumbaan peringkat kedua esok kerana pada saingan hari ini tiada pasukan yang cuba mengawal perlumbaan," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Pine Tree, di sini hari ini.

Menurut pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu, dia dan pasukannya menyasarkan untuk memenangi jersi biru sebagai pelumba terbaik keseluruhan kejohanan itu.

"Untuk menghadapi kejohanan ini, kami telah berlatih di Langkawi, Kedah sebelum datang ke Johor dan kami telah bersedia," ujarnya.

Tambahnya, dia juga meletakkan sasaran untuk memenang dalam kategori pelumba muda terbaik dalam kejohanan itu.- UTUSAN ONLINE