Populariti pelumba berusia 29 tahun itu semakin melonjak dalam kalangan peminat sejak kemenangan terbaharunya apabila hampir 100,000 mengikutinya di Instagram.

Tetapi bagi Azizulhasni, 29, masa untuk meraikan kejayaan yang dikecapi­nya dalam Kejohanan Dunia Trek di Hong Kong minggu lalu perlu dinoktahkan dan kini tiba masa baginya untuk kembali menyambung latihan dan pelajaran di Negara Kangaru itu.

“Saya sepatutnya diberi cuti tiga hari sahaja untuk berada di Malaysia tetapi atas tuntutan penaja dan tanggungjawab sosial kepada rakyat negara ini, saya dibenarkan bercuti hingga hari ini oleh jurulatih John Beasley.

“Jadi saya rasa sudah cukup buat saya melalui detik gembira meraikan kejayaan saya bergelar juara dunia acara keirin ini dan kini masanya untuk kembali menjalani latihan serta menyambung kuliah saya yang tertangguh.

“Saya hanya akan kembali semula ke Malaysia sebelum bermulanya Sukan SEA di Kuala Lumpur pada Ogos nanti atau mungkin ketika majlis perasmian Velodrom Nasional di Nilai,” katanya selepas menghadiri program terakhirnya di tanah air sebelum pulang ke Melbourne iaitu Majlis Bertemu Azizulhasni Sebagai Duta CIMB di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Selain melantik Azizulhasni sebagai duta jenama mereka, CIMB turut menjadi penaja utama program pembangunan pelumba berbasikal trek negara itu bersama dengan pelumba wanita Fatehah Mustapha dengan jumlah penajaan bernilai lebih RM3 juta selama empat tahun iaitu hingga Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Bagaimanapun dengan Sukan SEA bakal berlangsung pada Ogos ini selain Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan menanti kudrat hebatnya untuk menjulang nama negara, pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu tetap tidak mengubah perhatiannya untuk mempertahankan gelaran dunia tersebut pada 2018 nanti sebagai keutamaan.

Kejohanan Dunia 2018 dijadual berlangsung dari 28 Februari-4 Mac 2018 di Apeldoorn, Belanda.

“Sudah tentu mempertahankan kejuaraan dunia adalah keutamaan saya walaupun ada beberapa temasya sukan dan lima perlumbaan Siri Piala Dunia yang perlu disertai tahun depan. Untuk itu saya akan mengehadkan penyertaan saya untuk membuat persiapan menghadapi kejohanan dunia dengan memakai jersi pelangi sekali lagi,” tegasnya.