Hariff juga mendakwa sepanjang menyertai kejohanan di negara sendiri hadiah wang kemenangan tidak pernah diterimanya dalam tempoh tiga bulan seperti yang dijanjikan penganjur.

“Kegagalan pihak penganjur kejohanan untuk melakukan pembayaran mengikut jadual sepatutnya tidak berlaku kerana ia umpama menutup ‘periuk nasi’ pelumba yang mengambil bahagian.

“Kena ambil serius perkara ini kerana kami berkayuh dalam hujan dan panas. Duit kemena­ngan itu yang kami akan gunakan untuk membeli keperluan se­perti makanan dan macam-macam lagi.

“Saya harap perkara ini tidak dipandang mudah. Jika perlumbaan di luar negara, duit kemenangan akan terus diberi kepada pemenang, tetapi di Malaysia mengambil masa selama tiga bulan.

“Kami bukan mata duitan, tetapi ini adalah punca rezeki kami. Saya berharap, situasi sama tidak akan berlaku kepada perlumbaan Jelajah Malaysia kali ini,” katanya.

Hariff berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran edisi sulung Tour Of Malaysia (TOM) 2017 yang akan berlangsung pada 7 hingga 11 November ini.

LTdL 2017 yang berlangsung pada 22 Februari hingga 1 Mac lalu, dan JM 2016 (18-22 Oktober tahun lalu), masing-masing diuruskan oleh Ciclista Sports Sdn. Bhd. dan Peloton Resources Sdn. Bhd.

Dalam perkembangan berkai­tan, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab mengakui pihaknya sudah menerima wang kemenangan berjumlah RM178,450 itu daripada pengurusan JM2016 Ogos lalu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan punca wang tersebut tidak diserahkan disebabkan oleh kegagalan Peloton yang diketuai oleh bekas pelumba Musairi Musa menyediakan pecahan senarai pemenang serta nilai wang yang dimenangi daripada perlumbaan tersebut.

“PKBM menerima duit itu, cuma tiada maklumat mengenai para pemenang serta nilai kemenangan mereka. Jadi, bagaimana kita hendak serahkan duit kemenangan tanpa tahu siapa pemenangnya serta jumlah wang yang dimenangi.

“Sudah dua kali PKBM memberi peringatan kepada penganjur kejohanan supaya menyerahkan senarai lengkap para pemenang serta jumlah wang yang perlu diserahkan, namun sehingga sekarang kami masih belum menerima jawapan.

Jelas Abu Samah, wang kemenangan itu tidak akan diserahkan kepada pemenang selagi tiada maklumat kerana khuatir akan menyerahkannya kepada pemenang yang salah.