Sebaliknya Australia yang menjadi tuan rumah muncul negara pertama menamatkan penguasaan England pada edisi ketiga itu. Australia juga adalah negara pertama di Hemisfera Selatan yang menganjurkannya ketika itu.

Menggunakan Lapangan Kriket Sydney sebagai venue utama, acara pembukaan yang dihadiri 40,000 penonton tempatan penuh sesak sebagai bukti sokongan padu mereka untuk melihat Australia dan New Zealand cemerlang dalam menyekat England.

Impian penyokong tempatan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Australia berjaya meraih 25 emas untuk menyingkirkan England di tempat kedua dengan 15 emas diikuti Kanada dengan 13 emas.

Secara keseluruhannya, sebanyak 15 negara mengambil bahagian termasuk penampilan pertama Fiji dan Sri Lanka - kurang sedikit berbanding temasya 1934 di London.

Namun ia langsung tidak menjejaskan kemeriahan dan persaingan 464 atlet dalam tujuh jenis sukan yang dipertandingkan.

Sukan yang dimaksudkan adalah olahraga, tinju, berbasikal, boling padang, mendayung, renang/terjun dan gusti. Temasya itu berlangsung dari 5-12 Februari 1938.

Apa yang menarik tentang temasya kali ini ialah penyertaan seorang atlet renang yang bernama Margaret Dovey. Tiada yang istimewa tentang pencapaian atlet wanita Australia ini kecuali dia merupakan bakal isteri Perdana Menteri Australia ketika itu, Gough Whitlam. Dovey hanya menduduki tempat keenam dalam acara 220 ela kuak dada.