Bintang Romania itu sekali lagi dibayangi ‘badi’ Grand Slam ketika menentang Sloane Stephens dalam perlawanan akhir apabila tewas 3-6 di set pembukaan, sebelum bangkit menundukkan pemain Amerika Syarikat (AS) itu 3-6, 6-4, 6-1.

“Saya sangat gembira akhirnya berjaya memenangi kejuaraan Grand Slam. Ini kerana, bergelar pemain No. 1 dunia tanpa gelaran Grand Slam se­perti tiada makna. Tidak 100 peratus (berhak menjadi No. 1).

“Lagi pun Terbuka Perancis adalah Grand Slam kegemaran saya. Seperti yang selalu saya katakan, kalau saya berjaya memenangi salah satu (daripada empat) trofi Grand Slam, saya mahu ia dilakar di sini,” katanya.

Halep, 26, mengakui, dia sudah terbayang kekalahan apabila tewas set pertama, namun mental yang kuat membolehkannya bangkit menewaskan pemain No. 10 dunia yang juga juara Terbuka AS 2017, Stephens.

Halep sebelum ini kalah dalam semua tiga final Grand Slam, termasuk pada Terbuka Perancis tahun lalu, sekali gus dibayangi kebimbangan sebelum turun ke Roland Garros.

“Saya sudah mula rasa tidak sedap hati dan berkata, tidak mungkin akan berlaku sekali lagi tetapi tidak mengapa, saya hanya beri tumpuan kepada permainan dan selepas itu, saya mula mendapatkan rentak kemena­ngan,” katanya mengenai kekalahan di set pembukaan.

Halep kalah mengejut pada final tahun lalu apabila mempersiakan kelebihan 3-0 sebelum tewas di tangan pemain Latvia, Jelena Ostapenko.

Dia turut tewas dalam final Terbuka Perancis 2014 kepada Maria Sharapova, selain tumpas di tangan Caroline Wozniacki dalam perebutan gelaran Terbuka Australia, Januari lalu.

Kata Halep lagi, disebabkan kegagalan lalu, dia tetap tertekan sekali pun ketika mendahului selesa di set ketiga.

“Saya tidak boleh bernafas de­ngan sempurna sewaktu game terakhir ketika mendahului 5-0.

“Sebaik sahaja melepaskan satu game, saya berkata ‘baiklah, saya h ada empat lagi mata akhir sebelum dia (Stephens) berpeluang untuk bangkit,” ujarnya lagi. – AGENSI