Perwakilan dari Burma (kini Myanmar), Kemboja, Laos, Malaya, Vietnam Selatan dan Thailand bersetuju untuk melangsungkannya pada setiap tahun ganjil mulai 1959, antara tahun penganjuran Sukan Asia dan Olimpik.

Temasya dwitahunan ini bertujuan menggalakkan kerjasama, persefahaman dan perhubungan antara negara-negara rantau ini namun istilah geografi pada semenanjung itu, menghalang penyertaan Singapura pada mulanya.

Thailand kemudian menyarankan agar Singapura (negara pulau di selatan semenanjung Malaya) diundang pada saat-saat akhir untuk menyertai Sukan SEAP pertama yang berlangsung dari 12 hingga 17 Disember 1959 di Bangkok.

Lebih 527 atlet dan pegawai dari enam negara iaitu Thailand, Burma, Malaya, Singapura, Vietnam Selatan dan Laos tampil mengambil bahagian dalam 12 jenis sukan yang dipertandingkan.

Sukan itu ialah olahraga, badminton, bola keranjang, tinju, berbasikal, bola sepak, tenis, menembak, renang, pingpong, bola tampar dan angkat berat.