Bagaimanapun ini kali pertama Bangkok menganjurkan temasya menerusi proses bidaan selepas mendapat ‘laluan mudah’ dalam tiga penganjuran terdahulu iaitu pada 1966, 1970 dan 1978.

Faktor pengurusan penga­njuran yang baik dalam tiga Sukan Asia terdahulu membolehkan Thailand mendapat kepercayaan ahli gabungan Majlis Olimpik Asia (OCA).

Bangkok memenangi bidaan tuan rumah Sukan Asia 1998 pada 26 September 1990 selepas menewaskan Taiwan dan Jakarta.

Proses undian yang berlangsung di Beijing pada September 1990 itu menyaksikan Thailand memperoleh 20 undi daripada 37 ahli gabungan, sementara Taiwan menerima 10 undi dan Jakarta tujuh.

Temasya yang berlangsung dari 6 hingga 20 Disember itu menyaksikan 377 acara daripada 36 jenis sukan dipertandingkan.

Jumlah keseluruhan atlet yang bertanding dalam edisi ke-13 temasya ialah 6,554 iaitu 4,454 lelaki dan 2,100 wanita.

Majlis pembukaan disempurnakan Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Petinju Thailand, Somluck Kamsing pula diberi penghormatan mengetuai perarakan ma­suk atlet, iaitu dua tahun selepas memenangi emas featherweight Sukan Olimpik Atlanta.

China mengekalkan penguasaan dengan muncul juara ke­seluruhan menerusi 129 pingat emas, 78 perak dan 67 gangsa.

Malaysia pula menutup saingan di tangga ke-12 dengan lima emas, 10 perak dan 14 gangsa.

Kesemua emas negara disumbangkan oleh snuker (Ooi Chin Kay-Sam Chong), skuasy (Datuk Nicol David), renang (Lim Keng Liat) serta dua menerusi karate, C. Muralitharan dan R. Muniandy.