Ahli Parlimen, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bakat-bakat penggiat muay ini tidak boleh disia-siakan begitu sahaja kerana akan merugikan sukan negara.

“Sekiranya rakyat memberikan mandat kepada saya dalam PRU 14 ini, saya akan cuba membina sebuah dewan dan gelanggang khas yang lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk pe­tinju-petinju muay ini berlatih dan mengadakan aktiviti mereka.

“Gelanggang ini akan menjadi pusat persilatan dan muay bagi seluruh negara yang lengkap dan kami mahu jadikannya sebagai gelanggang dan lokasi baharu meningkatkan latihan khususnya untuk golongan muda dalam seni mempertahankan diri,” katanya ketika berucap merasmikan Program Baling Ultimate Fighting Championship 2017 sempena Sambutan Tahun Baharu 2018 di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN) Kupang, Datuk Harun Abdul Aziz dan Pegawai Daerah Datuk Shuhaime Abdul Rahman.

Menurutnya, dewan tertutup itu dijangka dapat menempatkan 10,000 penonton setiap kali pertandingan dianjurkan di situ.

“Sukan muay dapat menye­marakkan semangat setiakawan antara pemain-pemain yang terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat selain mengharmonikan dan mengeratkan silaturahim di antara satu sama lain,” jelas­nya.

Program Baling Ultimate Fighting Championship 2017 yang berlangsung selama tiga hari disertai sebanyak 70 peserta tempatan Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Thailand.

Sementara itu, pemenang kate­gori Super Fight Championship, Razif Mohd Yusuf, 29, dari Kumpulan Kelab Tomoi Burung Hantu (Delay King) berkata, sukan ini menjadikannya lebih berdisiplin dan bersemangat lebih kental.

“Muay amat baik kerana me­ngajar kita lebih berhati-hati dan lebih berwaspada ketika menjalani kehidupan harian.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang amat memahami jiwa golongan muda dan sentiasa membantu selain memberikan sokongan kepada kami dalam pelbagai bidang sukan khasnya sukan muay,” katanya.