Atlet kelahiran Sarawak yang mengungguli acara Nanquan wanita itu berkata, dia menyerahkan pemilihan pakaian kepada ibunya agar mendapat ‘restu’ untuk membuat persembahan di venue wusyu, Dewan 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Bagaimanapun, Diana berkata, dia agak terkilan selepas ibunya tidak sempat memasuki dewan untuk menyaksikan persembahannya selepas kapasiti 400 tempat duduk bagi orang awam di venue itu dibanjiri penonton.

“Pakaian saya didatangkan dari China. Tapi dalam banyak-banyak pakaian, mak yang pilih baju untuk persembahan saya hari ini. Dia kata warna hijau kena dengan warna kulit saya. Jadi, ia seperti tuah dalam persembahan tadi.

“Cuma saya kasihan pada mak saya kerana dia tidak dapat tengok persembahan saya. Sebab penonton ramai datang pada sebelah petang, lagi-lagi disebabkan kemasukan secara percuma. Tak sangka dia tidak dapat masuk,” kata atlet lepasan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu sejurus tamat perlawanan.

Diana dinobatkan sebagai pemenang emas selepas memungut markah tertinggi dengan 9.66 mata, manakala juara edisi lalu Myint Aye Thitsar dari Myanmar perak (9.64), diikuti wakil Vietnam, Nguyen Thuc Anh gangsa (9.63).

Emas hari ini merupakan yang keempat sepanjang enam penampilannya di Sukan SEA selepas 2007 di Thailand, 2009 Laos dan 2013 Myanmar.