Hari pertama pendengaran kes itu oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), yang melibatkan pemain perseorangan Zulfadli Zulkiffli, 25, dan Tan Chun Seang, 31, bermula di sini, hari ini.

“Satu daripada perlawanan itu ialah Grand Prix Korea,” kata Jadadish kepada pemberita selepas pendengaran itu.

Jadadish, yang juga Ahli Ma­jlis BAM, mengetuai jawatankuasa peraturan, disiplin dan integriti badan kebangsaan itu.

Beliau berkata BWF mengetahui tentang aktiviti mengatur perlawanan melibatkan dua pemain itu berikutan laporan yang dibuat seorang pemain.

“Ia bukan pemain Malaysia dan tiada kaitan dengan pemain Denmark,” katanya.

Jadadish berkata empat saksi dari tiga negara memberi kenya­taan hari ini, manakala dua lagi akan memberi keterangan esok.

Pendengaran itu akan bersambung pada 10 pagi esok.

Ditanya tentang pendengaran itu, Jadadish berkata: “Saya tiada isu berkaitan prosedur. Panel terlibat amat adil. Saya berharap keadilan dapat ditegakkan nanti.

“Pemain berkenaan juga memberi kerjasama yang amat baik,” katanya.

Jadadish berkata bahan bukti pihak pemain akan dikemukakan dalam pendengaran itu esok.

“Para pemain itu tidak memberi keterangan dalam sesi hari ini. Esok merupakan hari pem­belaan. Pihak peguam yang mewakili pemain akan menyoal balas saksi,” katanya.

Jadadish berkata beliau tidak menjangka BWF akan memberi keputusan kes itu esok kerana lazimnya “sesuatu keputusan akan diserah secara bertulis berserta dengan alasan kepada kami”.

Zulfadli, bekas juara remaja dunia 2011, dan Chun Seang, yang pernah beraksi dalam kejohanan Piala Thomas 2010, masing-masing diwakili dua peguam dalam pendengaran dua hari itu.

Pendengaran dikendalikan panel tiga anggota daripada BWF. – BERNAMA