Bintang sedang meningkat berusia 21 tahun itu bakal membuat perhitungan dengan Anders Antonsen dari Denmark selepas menundukkan pemain Thailand, Sittikhom Thammasin 21-13, 21-13.

Antonsen pula melangkah ke saingan lapan terbaik selepas mengetepikan cabaran wakil tuan rumah, Shesar Hiren Rhustavito 21-11, 21-9.

Zii Jia yang akan bertemu Antonsen buat kali pertama berkata, dia hanya fokus kepada perlawanan demi perlawanan, dan enggan memikirkan terlalu jauh.

“Secara jujur, saya agak kepenatan memasuki kejohanan ini kerana tidak pernah beraksi dalam tiga pertandingan berturut-turut.

“Harap saya boleh terus fokus esok dan paling penting kekalkan mentaliti serta permainan seperti hari ini,” kata juara Terbuka Taiwan itu ketika dihubungi.

Cabaran Malaysia turut diteruskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mengetepikan beregu campuran England, Ben Lane-Jessica Pugh 21-13, 21-10.

Beregu profesional negara itu akan berdepan satu lagi pasangan England, Marcus Ellis-Lauren Smith.

Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai pula mengejutkan pilihan ketujuh dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock 21-19, 21-23, 21-7 untuk menempah pertemuan dengan juara dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang tewas kepada juara dunia dari China, Li Junhui-Liu Yuchen 13-21, 18-21.

Malaysia juga tidak akan mempunyai wakil dalam beregu wanita selepas Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen tersingkir awal.

Mei Kuan-Meng Yean tumpas 21-19, 12-23, 14-21 kepada pilihan kelapan dari Thailand, Jongkolphan Kithitharakul-Rawinda Prajongjai 21-19, 21-23, 14-21.

Vivian Hoo-Cheng Wen pula tewas kepada pilihan kedua dari Jepun, Miskai Matsutomo-Ayaka Takahashi 13-21, 14-21.