Pemain kelahiran Kedah berusia 20 tahun itu dilihat sebagai prospek utama untuk mengambil alih kedudukan perseorangan No. 1 Malaysia apabila Chong Wei bersara daripada badminton.

Bagaimanapun Zii Jia menegaskan, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap terbaik, namun dia berada di landasan yang betul dan peluang beraksi di Piala Thomas membawa perubahan besar dalam kariernya.

"Saya rasa banyak yang saya pelajari daripada pengalaman pertama beraksi dalam Piala Tomas, standard kejohanan ini sama dengan Siri Super jadi ia memberi keyakinan kepada saya untuk meneruskan prestasi baik.

"Harap saya boleh kekalkan apa yang saya lakukan di sini, sasaran utama saya tahun ini adalah menempatkan diri dalam kedudukan 20 terbaik dunia," kata Zii Jia.

Zii Jia kini menghuni ranking ke-45 dunia, berada di belakang Chong Wei (tujuh) dan Liew Daren (35) dalam kedudukan perseorangan lelaki negara.

Dijangka menggalas cabaran perseorangan pertama dalam Piala Thomas dua tahun akan datang, Zii Jia juga dilihat sebagai pemain terbaik yang akan diketengahkan Malaysia pada Sukan Asia di Jakarta, 18 Ogos hingga 2 September ini.

Hanya membuat penampilan sulung Piala Thomas, prestasi Zii Jia dianggap memberangsangkan apabila memenangi semua tiga perlawanan peringkat kumpulan, sebelum kalah sengit ketika bertemu Jonatan Christie pada suku akhir menentang Indonesia.

Zii Jia mengejutkan pemain berpengalaman Denmark, Hans-Kristian Vittinghus 21-18, 21-18 dalam aksi terakhir Kumpulan D dan tewas 15-21, 21-11, 13-21 di tangan Jonatan semalam. - UTUSAN ONLINE