Pemain berusia 20 tahun itu menumbangkan Riichi Takeshita dari Jepun 21-17, 16-21, 21-11 dalam tempoh 62 minit di pentas akhir di Arena Taipei.

Kemenangan tersebut membolehkan dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$37,500 (RM155,512).

Kali terakhir Malaysia memenangi kejohanan tersebut pada 2004 menerusi jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.

Semalam, pemain kelahiran Kedah berusia 20 tahun itu, yang dilabel oleh jurulatih Datuk Misbun Sidek sebagai ‘calon pengganti Chong Wei’ menghampiri kejuaraan besarnya itu selepas membuat kejutan menumbangkan pilihan utama yang juga pemain No. 4 dunia, Chou Tien-chen.

Zii Jia menumpaskan wakil tuan rumah itu 17-21, 21-14, 24-22 di separuh akhir dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 80 minit.

Selain Zii Jia dan Chong Wei, dua lagi pemain negara yang pernah menjuarai pertandingan tersebut adalah Misbun pada 1987 dan Wong Choong Hann (2003).- UTUSAN ONLINE