Membuat kemunculan pertama selepas beraksi hambar dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu, pemain berusia 20 tahun itu menyingkirkan bintang India, Ajay Jayaram 21-16, 21-9.

Dilabel sebagai ‘calon pengganti Datuk Lee Chong Wei’ oleh jurulatih perseorangan kebangsaan, Datuk Misbun Sidek, pemain kelahiran Kedah itu bagaimanapun bakal berdepan ujian sebenar esok apabila menentang bintang tuan rumah yang juga pilihan utama, Chou Tien Chen.

Turut meneruskan kemaraan dalam kejohanan bernilai AS$500,000 (RM2.07 juta) itu adalah perseorangan wanita, Soniia Cheah serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Turun sebagai pilihan ketujuh, Soniia, 25, mengejutkan pemain tuan rumah yang juga pilihan keempat, Pai Yu Po 21-19, 21-18.

Laluannya untuk melangkah ke final bagaimanapun tidak mudah apabila bakal ditentang pemain No. 1 dunia yang pastinya mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah, Tai Tzu Ying.

Sementara itu, Tang Jie-Yen Wei terus mengukuhkan gandingan mereka sejak menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia, April lalu apabila mengetepikan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 17-21, 21-12, 23-21 dalam pertarungan sengit hampir sejam.

Menanti pasangan No. 36 dunia itu pada separuh akhir esok adalah beregu tuan rumah, Yang Po-Hsuan-Wu Ti Jung.

Cabaran dua lagi wakil negara, Chong Wei Feng dan beregu muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagaimanapun berakhir di suku akhir.

Wei Feng tewas 15-21, 11-21 kepada Riichi Takeshita dari Jepun manakala Aaron-Wooi Yik ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan pertama, Chen Hung Ling-Wang Chi-lin dari Taiwan 13-21, 21-17, 16-21. - UTUSAN ONLINE