Pemain berusia 21 tahun itu mara ke undian utama selepas menundukkan Soong Joo Ven 21-23, 21-13, 24-22 pada aksi kelayakan pertama sebelum menewaskan Sittikhom Thammasin 21-17, 21-16 dalam kelayakan kedua pula.

Katanya, dia sememangnya bersemangat untuk mencari kemenangan, esok kerana mahu bertemu Momota bagi mencari pengalaman sebaik mungkin daripada pemain No.1 dunia itu.

Dia sama sekali tidak kisah sama ada menang atau kalah kerana mahu merasai sendiri pengalaman bermain dengan jaguh dunia itu.

“Kali terakhir saya jumpa Momota adalah dua tahun lalu sewaktu dia baru kembali daripada penggantungan.

“Saya tidak kisah menang atau kalah, saya hanya akan masuk ke dalam gelanggang dan bermain seperti biasa.
“Selama ini saya hanya tengok di televisyen sahaja, tidak pernah rasa macam mana bermain dengannya di dalam gelanggang, jadi saya perlu menang perlawanan esok dan Momota adalah motivasi saya untuk perlawanan esok,” katanya.

Seandainya Zii Jia bertemu Momota di Axiata Arena, ia akan menjadi pertemuan kedua di antara mereka dengan kali terakhir wakil negara itu tewas kepada jaguh Jepun di separuh akhir Terbuka Republik Cezch, dua tahun lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek berkata, Zii Jia harus memanfaatkan peluang yang ada untuk bertemu dengan Momota dalam kejohanan itu kerana ia peluang terbaik untuknya terus memperbaiki kualiti permainan.

Katanya, paling penting Zii Jia harus mengekalkan rentak permainannya seperti hari ini dan berikan segalanya tanpa perlu melihat apa keputusan perlawanan itu.

“Perlawanan seperti ini bagus kerana dia boleh tahu tahap permainan sebenarnya ketika berdepan pemain utama dunia, tiada apa yang perlu dibimbangkan, main seperti biasa sahaja.

“Paling penting, keluarkan segala apa yang dia ada, jangan tahan-tahan kerana dengan cara itu dia tahu apa yang perlu diperbaiki, kalah tidak mengapa,” katanya.