Pemain berusia 20 tahun itu menjadi antara pemain sandaran utama ketua jurulatih Datuk Misbun Sidek dalam kempen kali ini selepas menampilkan aksi cemerlang sepanjang pusingan kelayakan di Alor Setar, Februari lalu.

Katanya, perkara utama yang perlu diberikan tumpuan ialah menguatkan mentalnya semasa beraksi agar dapat mengatasi sebarang tekanan semasa di dalam gelanggang terutama ketika pasukan negara sedang terikat atau ketinggalan.

Dia memberitahu, situasi itu kebiasaannya akan membuatkan pemain berada dalam keadaan sangat tertekan, membuatkan mereka tidak mampu beraksi pada tahap terbaik mereka.

“Dalam kejohanan seperti ini, setiap pemain adalah harapan pasu­kan terutama ketika kita ter­ikat 2-2 atau ketinggalan 0-2 dan ketika itu pemain yang diturunkan akan menjadi ‘zero’ atau ‘hero’.

“Paling penting saya kena atasi masalah (kekuatan mental) ini dahulu, selain kekuatan fizikal sa­ngat-sangat diperlukan dalam kejohanan ini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini.

Zii jia akan beraksi bersama ja­guh negara Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin selain Leong Jun Hao dalam acara perseorangan kejohanan dwitahunan pada 20-27 Mei nanti.

Acara beregu lelaki akan menyaksikan gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong menggalas cabaran bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik disamping Teo Ee Yi dan Mohd. Arif Ab. Latif.

Zii Jia memberitahu, sebelum ke Piala Thomas dia hanya menyertai beberapa kejohanan sahaja dan banyak menghabiskan masa menjalani latihan bagi memperkemaskan corak permainannya.

“Bagi saya tidak menjadi masalah kerana latihan seperti ini sangat diperlukan menjelang kejohanan besar,” katanya.

Sebagai perseorangan kedua negara, Zii Jia bakal berdepan cabaran besar daripada pemain utama dunia seperti Anders Antonsen (Denmark), Shi Yuqi (China), H.S Prannoy (India), Anthony Ginting (Indonesia) dan Kenta Nishimoto (Jepun).