Pemain kelahiran Alor Setar berusia 20 tahun itu membuktikan bahawa dia layak dipertaruhkan sebagai pemain perseorangan kedua negara selepas berjaya mengekalkan rekod empat perlawanan tanpa kalah dengan menampilkan aksi bertenaga sepanjang kempen di Stadium Sultan Abdul Halim.

Dalam aksi suku akhir menentang Hong Kong hari ini, Zii Jia memainkan peranan penting apabila menyumbang mata ketiga negara dengan menundukkan Vincent Wong 21-16, 21-15 untuk memastikan Malaysia mara ke separuh akhir esok selain tempat buat Malaysia di Bangkok.

Jaguh utama negara Datuk Lee Chong Wei seperti diramal berjaya menyumbang mata pertama selepas menewaskan Angus Ng 21-15, 22-20 sebelum pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong menjadikan kedudukan 2-0 dengan kemenangan 21-11, 21-16 ke atas Or Ching Chun-Tan Chung Man.

Zii Jia yang ditemui kemudian jelas begitu gembira dan bangga dengan prestasi semasanya, terutama dengan kejayaan menyumbang mata yang memastikan Malaysia ke separuh akhir serta mendapat tiket untuk pusingan akhir Piala Thomas.

Bagaimanapun dia tidak mahu terlalu berpuas hati dengan pencapaiannya selain menyifatkan setiap pemain akan mengalami prestasi turun dan naik dan ketika ini dia sedang berada di prestasi terbaiknya.

“Saya berasakan permainan hari ini adalah yang terbaik kerana selepas tiga perlawanan, keyakinan saya semakin bertambah dan memudahkan saya untuk beraksi.
“Datuk Seri (Mohamad) Norza juga berpesan kepada saya untuk bermain tanpa rasa takut, jadi itu yang saya lakukan.

“Selepas ini saya akan berbincang dengan jurulatih saya (Datuk Misbun Sidek) untuk melihat sama ada saya perlu mengubah permainan atau sebaliknya kerana ketika ini saya masih kekal dengan corak permainan sama,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.

Sementara itu, Misbun berharap Zii Jia tidak cepat berpuas hati dengan pencapaiannya ketika ini sebaliknya terus menggandakan usaha untuk meningkatkan prestasinya.

Legenda badminton negara itu mengakui pemain muda itu banyak belajar daripada kejohanan sebelum ini termasuk semasa Sukan SEA Ke-29 dan menyedari bahawa permainan dalam acara berpasukan sangat sukar.

“Saya melihat dia sudah mula menyesuaikan diri dan cepat belajar dengan cara permainan acara berpasukan seperti ini.

“Saya harap dia akan bekerja keras dan menyerahkan jiwanya untuk kami bantu bagi meningkatkan lagi prestasinya selain memperbaiki strategi permainannya pada masa akan datang,” katanya.