Jin Wei yang juga pemenang pingat emas Sukan ­Olimpik Remaja 2018 melangkah ke saingan empat terbaik selepas menundukkan wakil Taiwan, Chiang Ying Li 21-9, 21-6.

Xuerui pula mara dengan menyingkirkan wakil Indonesia, Fitriani 21-14, 21-12.

Xuerui yang membuat penampilan semula tahun ini selepas berehat dua tahun akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di Sukan Olimpik Rio 2016, sedang memburu gelaran ketiganya selepas Terbuka Amerika Syarikat dan Kanada.

Jurulatih kebangsaan, Rony Agustinus percaya, Jin Wei mampu mengatasi Xuerui jika fokus kepada permainan.

“Kalau kita tengok aksinya hari ini, dia berjaya menamatkan saingan kurang 30 minit tetapi kena fokus untuk setiap mata dan jangan sama sekali memandang rendah lawan.

“Memang dia ada motivasi tersendiri untuk menang selepas jadi juara remaja tetapi saingan di sini tidak sama se­perti peringkat remaja.

“Kita akan cuba esok, memang tekanan itu ada tetapi jika dia bermain seperti biasa, peluang (melangkah ke final) itu tetap ada,” katanya.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia juga mara ke separuh akhir selepas menundukkan Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia, 21-14, 21-13, sekali gus bakal bertemu Sitthikom Thammasin dari Thailand.

Turut ke separuh akhir Tan Boon Heong-Kim Sa Rang yang menewaskan pilihan kelima dari Indonesia, Berry Angriawan-Hardianto 21-16, 21-17 dalam beregu lelaki.