Keputusan itu diambil BWF atas alasan Jadadish membuka mulut kepada wakil media Malaysia yang menunggu hampir sembilan jam di hotel tempat berlangsung sesi pendengaran itu untuk mengetahui perkembangan dua pemain profesional Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang yang didakwa mengatur perlawanan.

Jadadish berkata, keputusan itu diambil setelah pengerusi panel enkuiri yang menjalankan sesi pendengaran menerima bantahan daripada peguam dua pemain berkenaan, memaklumkan bahawa dia memberikan kenyataan kepada pihak media.

“Pada pukul 9 pagi tadi, saya dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BWF bahawa pengerusi panel enkuiri telah menerima bantahan daripada peguam pemain berhubung kenyataan media yang diberikan.

“Jadi, pelantikan saya sebagai pemerhati ditarik balik dan tidak dibenarkan masuk sesi pendengaran.

“Saya rasa tindakan yang diambil BWF ini bukanlah tindakan yang wajar. Jika mereka ada terima bantahan, harus dikemukakan ketika permulaan pendengaran pada 10 pagi dan bukannya memberitahu secara terus kepada saya sejam lebih awal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sesi pendengaran yang disambung hari ini bermula pukul 10 pagi ini menyaksikan dua saksi lagi dipanggil manakala dua pemain negara terlibat diberikan peluang untuk membela diri di hadapan tiga panel yang dilantik.

Sesi pendengaran itu berakhir kira-kira pukul 4.45 petang. 

Sementara itu bekas juara remaja dunia Zulfadli, 25, dan Chun Seang, 31, dilihat  meninggalkan hotel terbabit dengan menaiki kenderaan secara berasingan selepas sesi pendengaran selesai.

Mereka dipercayai memberi keterangan membela diri hari ini.

Peguam yang mewakili salah seorang pemain yang terlibat berhubung kes tersebut ketika ditemui bagaimanapun enggan mengulas mahupun mengesahkan mengenai laporan akhbar hari ini bahawa dua pemain itu berhadapan enam pertuduhan mengatur perlawanan dari tahun 2013 hingga 2016.

Jadadish semalam memberitahu wartawan bahawa beliau menjangkakan keputusan pendengaran itu hanya akan diumumkan dalam tempoh tiga minggu.

Pemain yang melakukan kesalahan mengatur perlawanan boleh digantung seumur hidup daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan badminton di bawah undang-undang BWF.