Mereka bagaimanapun terpaksa bekerja keras selama lebih sejam sebelum menang dalam aksi rubber set 12-21, 21-12, 21-18 ke atas pasangan Thailand, Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong.

Keputusan itu menyaksikan mereka akan berdepan cabaran Yulfira Barkah-Jauza Fadhilah Sugiarto yang menundukkan Linda Efler-Isabela Hettrich 14-21, 21-9, 21-17.

Vivian meyasarkan untuk melangkah ke suku akhir dalam kejohanan itu selain mahu terus memperbaiki kualiti gandingannya bersama Cheng Wen.

Katanya, sebagai gandingan baharu, setiap perlawanan adalah proses pembelajaran baharu dan mereka perlu segera memperbaiki segala kelemahan untuk membolehkan mereka berada dalam kedudukan ranking terbaik bagi menyertai kejohanan lebih besar.

“Memang gembira dapat menang perlawanan hari ini tetapi masih ada banyak perkara perlu diperbaiki terutama persefahaman semasa di dalam gelanggang.

“Kalau dahulu, saya dengan (Woon) Khe Wei mudah kerana usia kami lebih kurang sama tetapi dengan Cheng Wen agak sukar sedikit kerana dia terlalu menghormati saya atas faktor usia dan perkara ini kena segera atasi.

“Kalau diikutkan kepada undian, memang kami ada peluang untuk ke suku akhir dan peluang ini akan digunakan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.

Sementara itu nasib tidak menyebelahi gandingan utama negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean apabila mereka tewas mudah 8-21, 14-21 kepada pasangan bukan pilihan dari Jepun, Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata.- UTUSAN ONLINE