Berdasarkan peraturan baharu yang ditetapkan BWF itu, servis perlu dilakukan pada ketinggian 1.15m dari aras gelanggang atau pada kedudukan bulu tangkis di bawah kawasan pinggang.

Selepas mencubanya sendiri, pemain berusia 20 tahun itu jelas berdepan kesukaran untuk melakukan servis dengan sempurna dengan kebanyakan bulu tangkisnya tersangkut di jaring.

Katanya, keputusan itu jelas tidak berpihak kepada pemain sepertinya selain pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen bersama barisan pemain Denmark yang tinggi lampai kerana mereka terpaksa bergelut untuk mendapatkan posisi terbaik sebelum melakukan servis.

Video oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

Bagaimanapun, dia percaya jaguh No.1 negara, Datuk Lee Chong Wei tidak akan berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu yang akan digunakan semasa aksi All England, minggu hadapan kerana dia merupakan pemain yang tidak begitu tinggi.

“Selepas saya cuba, memang susah untuk pemain seperti saya dan Axelsen serta pemain-pemain Denmark lain.

“Menerusi servis baharu ini, kepala raket perlu berada di bawah dan apabila pemain melakukan servis bola akan naik tinggi, memudahkan lawan melakukan serangan balas.

“Memang saya tidak berapa setuju dengan peraturan ini kerana ia berpihak kepada pemain-pemain yang rendah dan ia sama sekali tidak memberi manfaat kepada pemain tinggi seperti saya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE