Beliau berkata, komunikasi di dalam di antara kedua-dua pemain itu dilihat semakin baik semasa aksi di Malaysia Masters, semalam berbanding Thailand Masters, minggu lalu.

Katanya, kedua-dua pemain itu sebelum ini dilihat seperti tidak berkomunikasi semasa di Bangkok dan ia bukan sesuatu yang baik menjelang aksi kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, bulan hadapan.

“Saya ada nampak perubahan yang positif dari segi komunikasi di dalam gelanggang di antara kedua-dua pemain ini. Mungkin tidak banyak tetapi ada.

“Sewaktu di Thailand Masters, jangan kata bercakap, bertepuk tangan semasa di dalam gelanggang pun tidak ada dan perkara itu saya rujuk kepada (Cheah) Soon Kit dan (Datuk Ng) Chin Chai untuk segera diatasi.

“Saya juga memberi amaran kepada mereka selepas Thailand Masters untuk perbaiki segera hubungan atau tidak akan dihantar untuk menyertai sebarang kejohanan selepas ini,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini semalam.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu bagaimanapun gagal merangkul kejuaraan sulung mereka musim ini selepas tewas di pentas final Malaysia Masters kepada wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-14, 22-24, 13-21.

Secara keseluruhannya Mohamad Norza berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan pemain perseorangan lelaki dan perseorangan wanita di Malaysia Masters serta berharap prestasi mereka akan terus ditingkatkan pada masa akan datang.

Beliau juga gembira dengan persembahan beregu campuran negara di kejohanan sama dan berharap pemain-pemain negara akan menjadi lebih agresif untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 pasangan terbaik dunia.

“Bagi acara beregu wanita, memang saya sangat kecewa kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian di kejohanan ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE