Pasangan bebas negara itu meraih kemenangan 21-19, 24-22 ke atas Ahsan-Hendra yang juga juara Olimpik Beijing 2008 untuk menempah pertemuan dengan pilihan ketiga dari Jepun, Hiroyoki Endo-Yuta Watanabe yang mengalahkan Berry Angriawan-Hardianto 27-25, 21-12.

Kejayaan ke atas Ahsan-Hendra itu adalah yang pertama selepas empat kali tewas sejak 2015 termasuk kali terakhir pada Terbuka Hong Kong 2018.

Wee Kiong berkata, permulaan mereka agak kurang baik tetapi berjaya bangkit selepas terikat pada kedudukan 11-11 dan percaya mampu untuk meraih kemenangan.

“Memang pada mulanya kami kurang yakin pada awal permainan kerana sudah empat kali tewas kepada mereka.

“Permainan mereka juga sangat bagus khususnya dari segi pertahanan, menyukarkan kami untuk mendapatkan mata tetapi kami fokus kepada pukulan rendah kerana di situ adalah peluang terbaik kami,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena di sini, hari ini.

Pada masa sama, mereka turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatih beregu negara, Paulus Firman dan bekas pemain kebangsaan, Lee Wan Wah kerana banyak memberi bantuan selama ini.

“Sebelum kami keluar BAM (Persatuan Badminton Malaysia), Paulus membimbing kami, jadi pujian perlu diberikan kepadanya atas kejayaan kami dan Wan Wah banyak membantu kami menyelesaikan masalah di dalam gelanggang selepas kami bergerak secara bebas,” katanya.

Turut ke suku akhir, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas menundukkan juara bertahan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 26-24, 21-15 untuk bertemu Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.