Turun sebagai pilihan kedua dalam kejohanan Siri Super bernilai AS$350,000 (RM1.55 juta), pemenang pi­ngat perak Sukan Olimpik itu tunduk 15-21, 15-21 kepada pasangan bukan pilihan dari Indonesia, Hardianto Hardianto-Berry Angriawan 15-21, 15-21.

Kekalahan terbaharu beregu lelaki negara itu amat membimbangkan ketika Kejohanan Dunia tinggal kurang empat bulan untuk berlangsung di Glasgow, Scotland.

“Pasangan Malaysia banyak melakukan kesilapan sendiri dan itu memberi ruang kepada kami untuk memenangi perlawanan ini,” kata Hardianto, yang sekadar menduduki ranking ke-40 dunia bersama Berry.

Memulakan tahun baharu di ranking No. 1 dunia, kegagalan melakar sebarang kejuaraan tahun ini menyebabkan V Shem-Wee Kiong jatuh ke kedudukan keempat.

V Shem-Wee Kiong sebelum ini tewas pada suku akhir All England bulan lalu, selain tersingkir di peringkat yang sama pada Terbuka India, awal bulan ini sebelum ditunjukkan jalan keluar 17-21, 21-23 oleh pasangan bukan pilihan dari Hong Kong, Or Chin Chung-Tang Chun Man dari Hong Kong pada aksi pembukaan di Kuching, minggu lalu. - UTUSAN ONLINE