Sebelum ini badan induk sukan badminton negara itu mengambil keputusan untuk memisahkan gandingan V Shem-Wee Kiong yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio pada September lalu selepas menunjukkan penurunan prestasi drastik ekoran masalah komunikasi.

Tindakan itu menyaksikan V Shem digandingkan bersama Ee Yi manakala Yew Sin digandingkan bersama Wee Kiong dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini.

Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, keputusan itu dibuat selepas badan induk sukan badminton negara itu mengambil pertimbangan terhadap peraturan baharu yang ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang akan berkuat kuasa tahun hadapan.

“V Shem-Wee Kiong dan Ee Yi-Yew Sin akan digandingkan semula dalam beberapa siri kejohanan selepas ini sebagai persediaan untuk kempen Piala Thomas tahun hadapan kerana mereka masih di kedudukan yang baik dalam senarai ranking dunia dan ia secara tidak langsung akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk aksi kelayakan.

“Dalam beberapa bulan akan datang, gandingan lama ini akan menyertai kejohanan berbeza kerana BWF sudah menetapkan peraturan baharu bahawa tiada lagi pusingan kelayakan bagi kejohanan Tahap 2 dan 3 (Siri Super Premier dan Siri Super) manakala kejohanan Tahap 4 dan 5 (Grand Prix Emas dan Grand Prix) hanya ada 28 slot untuk aksi utama dengan tambahan lapan slot dari pusingan kelayakan.

“Jadi, Malaysia akan berdepan risiko besar sekiranya meneruskan gandingan Wee Kiong-Yew Sin dan V Shem-Ee Yi kerana mereka berkemungkinan tidak layak beraksi di kejohanan Tahap 2 dan 3, atas dasar itu BAM dan barisan kejurulatihan memutuskan untuk mengembalikan pemain ini kepada pasangan asal mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.