Penyingkiran awal beregu lelaki negara itu daripada Terbuka China dan Jepun baru-baru ini amat mengecewakan BAM, apatah lagi V Shem-Wee Kiong kalah kepada pasangan yang berada di kedudukan lebih rendah daripada mereka dalam ranking dunia.

“Saya selalu berbincang dengan pengerusi Jawatankuasa C&T (Kejurulatihan dan Latihan, Datuk Ng Chin Chai) dan saya beritahu, kami perlukan keputusan segera.

“Dalam kriteria diberikan kepada pasangan itu, mereka tidak boleh kalah kepada beregu di kedudukan lebih rendah tiga kali berturut-turut. Bukan memberi tekanan tetapi mereka sudah ada dua bendera merah, ada satu lagi peluang atau berdepan tindakan (pembekuan),” tegasnya ketika menghadiri majlis pelancaran edisi kelima Purple League di sini, hari ini.

V Shem-Wee Kiong tewas 14-21, 17-21, 19-21 kepada Ricky Karandasuwardi-Angga Pratama dari Indonesia dalam pusingan kedua Terbuka China minggu lalu, iaitu seminggu selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan dari India, B. Sumeeth Reddy-Manu Attri 21-15, 21-23 dan 19-21 dalam pusingan pertama Terbuka Jepun.

Dalam Sukan Asia di Indonesia, bekas pasangan No. 1 dunia itu tumpas kepada beregu tuan rumah Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon 20-22, 19-21 dalam suku akhir, sekali gus menyaksikan badminton pulang tanpa pingat buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun.

Menurut Mohamad Norza lagi, selain V Shem-Wee Kiong, BAM juga memberi amaran kepada semua pemain agar mengekalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jika mahu terus bernaung dalam skuad kebangsaan.