V Shem bersama pasangannya Tan Wee Kiong mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Malaysia selepas menundukkan gandingan Thailand, Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash 21-15, 21-10 semalam namun pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berdepan kesukaran ketika melakukan servis sepanjang perlawanan itu.
Pemain berusia 29 tahun itu berkata, peraturan servis itu seharusnya diubah dan disesuaikan mengikut ketinggian pemain kerana undang-udang yang digunakan ketika ini jelas tidak berpihak kepada pemain tinggi.

Semasa pusingan pertama, servis V Shem kerap dibatalkan kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan sehingga menyebabkan dia menghulurkan raket kepada pengadil servis kerana berang dengan keputusan yang diberikan.

“Kami sudah lama menjalani latihan bagi memperbaiki servis supaya menepati piawaian yang ditetapkan tetapi masih berlaku kesilapan, saya ada bantah keputusan pengadil servis semasa perlawanan kerana saya merasakan ia betul.

“Saya fikir peraturan ini perlu diubah, biar sesuai dengan ketinggian pemain, kalau ada pemain yang tinggi, macam mana mereka mahu lakukan servis dengan baik dan saya melihat peraturan ini memang tidak adil untuk semua pemain,” katanya.

Berdasarkan peraturan baharu BWF, pemain perlu melakukan servis dari jarak 1.15 meter dari paras lantai berbanding peraturan sebelum ini yang membenarkan servis dilakukan di bawah paras pusat. - UTUSAN ONLINE