V Shem-Wee Kiong pernah bergelar beregu nombor satu dunia dua tahun lepas kini menduduki tangga ke-29 dunia mengakui perlu berkerja keras untuk mendapatkan semula rentak kecemerlangan mereka terutamanya dalam menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari depan.

V Shem berkata, dia dan Wee Kiong juga sudah bersedia untuk menyumbang mata dalam kejohanan itu yang juga merupakan kelayakan Piala Thomas 2018.

“Saya berharap pada 2018 prestasi kami akan lebih baik berbanding tahun ini. Kami sudah membuat persiapan yang rapi menjelang tahun depan. Dalam latihan, saya yakin keserasian kami lebih bagus. Saya harap komunikasi yang baik ini dapat dikekalkan

“Bagi persediaan kelayakan Piala Thomas, tekanan pasti ada tetapi saya yakin kami dapat mengatasinya,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

V Shem-Wee Kiong merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 gagal mengekalkan prestasi cemerlang pada awal tahun ini telah memaksa pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan memisahkan mereka pada September lepas.

V Shem berkata, Kejohanan Badminton Thailand Masters dari 9 hingga 14 Jan dan Malaysia Masters dari 16 hingga 21 Jan tahun hadapan merupakan kejohanan awal yang perlu diharungi bagi menguji tahap taktikal dan prestasi mereka selain mendapatkan semula keserasian di gelanggang.

“Kami perlu beraksi bersungguh-sungguh dari awal tahun untuk meraih keputusan cemerlang supaya semangat itu dapat dikekalkan dalam kejohanan lain selepas ini,” katanya. – BERNAMA