LEE CHONG WEI diletakkan sebagai pilihan kedua Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Nanjing, China.

Sebaliknya jaguh perseorangan lelaki badminton negara ini hanya akan bertemu salah seorang sahaja pemain China dalam kalangan Chen Long, Lin Dan mahu pun Shi Yuqi di final, itu pun jika berjaya mara sejauh itu.

Ini sekali gus boleh dianggap menjadi peluang terbaik buat jaguh perseorangan badminton negara itu untuk muncul juara dunia buat kali pertama dalam kariernya apabila kejohanan itu berlangsung di Nanjing, China nanti.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan, cabaran berat Chong Wei, 36, yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan hanya bermula di separuh akhir apabila dijangka bertemu sama ada pemain pilihan keenam dari Jepun, Kento Momota atau pemain pilihan keempat, Son Wan Ho dari Korea Selatan.

Selebihnya yang turut berada dalam laluan Chong Wei sebelum bertemu Momota/Wan Ho adalah pemain pilihan kelima dari India, K. Srikanth (suku akhir) selain pilihan ke-12 dari Indonesia, Anthony Ginting (pusingan ketiga).

Chong Wei dijadual membuka kempen kejohanan dengan bertemu pemain Perancis, Brice Leverdez namun salah seorang jurulatih negara, Paulus Firman tetap menganggap jaguh negara itu masih perlu berhati-hati dengan lawan tersebut.

“Memang secara keseluruhannya undian agak memihak kepada Chong Wei tetapi perlawanan pusingan pertama biasanya berbahaya kepada pemain pilihan kerana banyaknya muslihat dan kejutan boleh berlaku.

“Jadi Chong Wei masih perlu berhati-hati walaupun atas kertas pemain Perancis itu bukan ancaman sebenar. Bimbang juga Chong Wei belum mendapat rentaknya (lambat panas) ketika itu,” katanya ketika ditemui pada majlis undian tersebut.

Pemain pilihan pertama yang juga juara bertahan dari Denmark, Viktor Axelsen kini menggantikan tempat Chong Wei dalam terpaksa mengharungi tentangan sekurang-kurangnya dua pemain China sebelum boleh mara ke final.

Axelsen dijangka bertemu pilihan kelapan, Chen Long di suku akhir dan jika menang menantinya sama ada pilihan kesembilan, Lin Dan atau pilihan ketiga, Shi Yuqi di separuh akhir.

Selain Chong Wei, Malaysia turut mempunyai seorang lagi wakil dalam perseorangan lelaki iaitu pemain bukan pilihan,Daren Liew namun jika pun berjaya mara atau melakukan kejutan ke atas Jonathan Christie dari Indonesia dan Srikanth, beliau terpaksa berdepan Chong Wei di suku akhir.