Jurulatih silih berganti, pelbagai usaha telah dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun prestasi pemain muda masih sama biarpun banyak peluang telah diberikan.

Menurut ke­tua jurulatih per­se­orangan lelaki ne­­gara, Datuk Mis­bun Sidek ­semua pemain muda di Akademi Badminton Malaysia (ABM) berbakat dan mempunyai masa depan cerah sekiranya mereka mengambil inisiatif mempelbagaikan kelebihan masing-masing di gelanggang.

“Kebanyakan pemain di sini boleh bermain tetapi modal taktikal seperti bagaimana untuk cari point, hindarkan diri daripada serangan lawan, mengambil kelekaan pihak lawan, modal itu yang tiada.

“Semua pemain perlukan perhatian, diberi peluang bermain dan mahu menjadi juara. Mereka perlu ada sasaran dalam hidup dan karier mereka jika mahu berjaya,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Misbun berkata, beliau sering mengingatkan anak-anak buahnya jika mereka mahu menjadi pemain se­nior, hanya dua pilihan yang ada iaitu sama ada berkerja keras atau ketinggalan.

“Kalau anda mahu menjadi pemain se­nior, anda perlu berusaha kalau tidak kamu akan tertinggal, jika kamu ketinggalan saya tidak peduli,” jelasnya.

Misbun berkata, semua pemain perlu diberi tekanan dalam latihan supaya mereka tahu matlamat yang perlu dicapai.

Jelasnya pemain negara boleh membuktikan kemam­puan setanding pesaing mereka yang sedang meningkat naik sekiranya menghargai ilmu yang diberikan.

“Pemain lu­ar yang sanggup berlatih di sini lebih memanfaatkan ilmu yang diberikan kerana mereka membeli ilmu itu. Kalau saya cakap pukul tiga pagi turun latihan, mereka ikut dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Pemain perseorangan lelaki seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Lim Chi Wing, Chong Yee Han, Soong Joo Ven antara bakat yang perlu digilap dan diketengahkan oleh BAM.

Misbun bagaimanapun mengakui untuk melihat ha­sil daripada pemain-pemain muda itu memerlukan masa dan beliau sendiri percaya dengan kemampuan anak buahnya itu.

Tidak dinafikan sehingga saat ini, Malaysia masih meletakkan harapan tinggi kepada Datuk Lee Chong Wei untuk meneruskan kegemilangan dalam sukan badminton. – BERNAMA