Aksi yang akan bermula esok di Axiata Arena, di sini menyaksikan Zii Jia bersama Chong Wei Feng akan memulakan cabaran di pusingan kelayakan manakala pemenang pingat gangsa kejohanan dunia, Liew Daren akan bermula di pusingan pertama, Rabu ini.

Pemain berusia 21 tahun itu berkata, memang sasaran awalnya adalah untuk berada dalam senarai undian utama dan akan berusaha untuk mendapatkan keputusan cemerlang di kejohanan itu.

“Memang kalau boleh saya mahu pergi lebih jauh dalam kejohanan ini tetapi bukan senang kerana kebanyakan pemain utama dunia berada di sini.

“Kalau dilihat tumpuan kini ke arah saya tetapi saya tidak kisah, tak perlu fikir sangat mengenai perkara ini, hanya masuk ke gelanggang dan main sebaik mungkin untuk dapatkan keputusan baik,” katanya yang menyasarkan untuk berada dalam kelompok 32 pemain terbaik dunia menjelang April ini.

Zii Jia akan berdepan cabaran Zhou Zeqi dari China di pusingan kelayakan pertama dan akan bertemu pemenang di antara Zhou Junpeng dan Sitthikom Thammasin.

Seandainya berjaya ke senarai undian utama, dia akan berdepan cabaran pemain pusingan kelayakan sama ada Vincent Wong, Ajay Jayaram, Subhankar Dey atau Tanongsak Saensomboonsuk.-UTUSAN ONLINE