Pasukan negara dijangka mela­kukan pertukaran dalam acara per­seorangan dan beregu wanita, yang mana Soniaa Cheah bakal mengambil alih tempat Goh Jin Wei, manakala beregu utama, Vi­vian Hoo-Woon Khe Wei turun menggantikan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Oei Jing yang menyumbang mata buat Malaysia dalam perlawanan semalam bakal dikekalkan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga dijangka terus menggalas tugas beregu lelaki meski­pun kalah 21-18, 17-21, 16-21 kepada Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

“Peluang tetap ada tetapi 50-50. Mengenai barisan pemain, saya mohon maaf kerana tidak boleh dedah siapa yang akan ber­aksi esok tetapi sudah pasti yang terbaik,” kata Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam aksi terakhir peringkat kumpulan semalam, hanya Chong Wei dan Kian Meng-Pei Jing berjaya menyumbang mata buat pasukan Malaysia selepas tiga lagi wakil negara tumpas.

Keputusan itu meletakkan Malaysia dalam laluan yang sangat sukar selepas diundi sekali lagi untuk bertemu Jepun di suku ­akhir dan sekiranya berjaya melepasi halangan tersebut, China bakal menjadi penghalang utama negara untuk ke final buat kali pertama.

Sementara itu, Kian Meng mengakui, setiap pemain Malaysia merasai tekanan kerana tidak pernah menjulang Piala Sudirman.

Katanya, tekanan itu bertambah kerana di atas kertas Malaysia berpeluang meraih kejuaraan dalam edisi kali ini.

“Tekanan memang ada dan itu perkara biasa, namun saya sudah bersedia untuk diturunkan jika diberi kepercayaan.

“Saya sudah melakukan persediaan rapi,” katanya.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Sudirman adalah mara ke separuh akhir di Guangzhou, China pada 2009.