Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, projek khas yang diwujudkan untuk Chong Wei sudah mula menghasilkan keputusan positif terutama selepas kejayaan pemain No.1 dunia itu merangkul kejuaraan All England keempat biarpun baru pulih daripada kecederaan MCL (medial collateral ligament).

Katanya, projek khas yang baharu itu akan lebih fokus kepada pemain muda memandangkan kini sudah ramai pemain muda dari negara lain mula memberikan saingan kompetitif di pentas besar seperti All England.

“Pertama kita lihat, projek khas untuk Chong Wei sudah menampakkan hasil yang baik.

“Saya akan mengadakan perbincangan bersama (Pengarah Teknikal BAM) Morten (Frost Hansen) untuk memperkenalkan sistem dan pendedahan yang lebih proaktif dalam membentuk lebih ramai pemain pelapis dalam masa yang lebih singkat.

“Perkara ini saya lihat sebagai satu keperluan kerana kita memerlukan lebih ramai pemain-pemain muda yang boleh memberikan saingan kompetitif di pentas kejohanan besar.

“Ini sekali gus mencapai sasaran untuk menjadi antara kuasa besar dalam sukan badminton dunia,” kata Mohamad Norza ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Chong Wei yang juga pemenang tiga pingat perak Sukan O­limpik membuktikan kejaguhannya apabila mudah menundukkan pemain muda China, Shi Yuqi 21-12, 21-10 dalam final semalam.

Sementara itu, Mohamad Norza juga berbangga dengan pencapaian beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang berjaya ke pentas final buat kali pertama dalam kejohanan badminton tertua dunia itu.