Pasangan yang kini menghuni ranking ke-11 dunia masih bergelut dengan persembahan kurang konsisten terutama selepas kali terakhir merangkul kejuaraan Siri Super 500 Terbuka Singapura, tahun lalu dengan menundukkan juara dua dua kali dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.

Shevon memberitahu, selepas kejayaan di Singapura, semua orang mula mengkaji segala kelemahan dan corak permainan mereka dan membuatkan mereka gagal untuk kekal konsisten.

“Tipu jika kata tiada tekanan, kami boleh dikatakan sebagai pasangan baharu berbanding senior kami (Peng Soon-Liu Ying), mereka jauh lebih berpengalaman dan sudah berjaya mengatasi tekanan besar.

“Boleh dikatakan sewaktu di Singapura, memang kami berada pada puncak prestasi tetapi selepas itu kami bergelut untuk beraksi secara konsisten dan beberapa bulan ini kami akan cuba atasi masalah ini untuk persiapan bagi kelayakan Sukan Olimpik yang bermula Mei ini,” katanya.

Dalam aksi Siri Jelajah Dunia 500 Malaysia Masters di Axiata Arena, di sini, Soon Huat-Shevon berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung 23-21, 21-14 dan akan bertemu Takuro Hoki-Wakana Nagahara yang menang 21-9, 19-21, 21-17 ke atas Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Dalam perkembangan sama, nasib tidak menyebelahi satu lagi pasangan negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila tewas 22-20, 11-21, 15-21 kepada pilihan keempat dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock.

Turut tersingkir Chen Tang Jie-Peck Yen Wei gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 18-21, 12-21 kepada pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Miskai Matsutomo, selain Hoo Pang Ron-Cheah Yee See tunduk 14-21, 22-24 kepada Ronan Tabeling-Salena Piek.