Selain Chong Wei, 34, yang baru menjulang gelaranAll England buat kali keempat, Ahad lalu kehadiran pemain terkemuka lain seperti Chen Long, Lin Dan (China) dan Jan O Jorgensen dari Denmark turut menjadikan sambutan kejohanan 4-9 April itu cukup hebat.

Malah, pemain muda China, Shi Yuqi, yang baru ditewaskan oleh Chong Wei dalam final All England turut beraksi pada edisi ke-59 kejohanan yang akan diadakan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan yang ditunjukkan oleh peminat sangat baik, malah menjangkau sasaran penganjur.

“Tiket perlawanan separuh akhir dan akhir pada 8 dan 9 April sudah habis dijual, kecuali 500 tiket yang hanya akan dijual di stadium pada hari pertandingan.

“Tiada bayaran dikenakan pada hari pertama (4 April) manakala tiket perlawanan pada 5 hingga 7 April masih boleh dibeli daripada ejen-ejen berdaftar,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat penyelarasan di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Lawrence Chew, Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Sarawak (SBA), Abdul Hadi Abdul Kadir serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Dr Ong Kong Swee.

Terbuka Malaysia menawarkan hadiah keseluruhan AS$600,000 (RM2.7 juta).

Sementara itu, Lawrence berkata, 500 tiket yang dijual pada hari pertandingan mungkin tidak dapat memenuhi permintaan, justeru pihaknya bercadang memasang skrin gergasi di kawasan Pusat Akuatik Pandelela Rinong bagi memberi peluang kepada peminat yang gagal mendapat tiket.

Turun dengan status juara terbanyak iaitu 11 kali, Chong Wei menjadi pilihan untuk merangkul Terbuka Malaysia ke-12 di Kuching.

Laluan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik bagaimanapun tidak mudah kerana berpotensi bertemu juara Olimpik, Chen Long di separuh akhir.