Kejayaan gandingan muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan profesional, Low Juan Shen-Chooi Kah Ming meneruskan cabaran beregu lelaki, selain Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dalam saingan beregu wanita memberi harapan baharu buat badminton negara.

Aaron-Wooi Yik mara selepas menewaskan beregu China, Huang Kaixiang-Wang Zekang 21-16, 21-11 dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

Kemenangan itu hadir sehari selepas mereka melunaskan dendam ke atas pasangan Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit yang menewaskan mereka ketika suku akhir Terbuka Thailand, Julai lalu.

Menanti mereka pada suku akhir esok adalah pilihan kelapan dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.

Beregu profesional negara, Juan Shen-Kah Ming pula mengejutkan pilihan ketujuh dari Taiwan, Liao Min Chun-Su Ching Heng 21-19, 21-16 dalam satu lagi aksi pusingan kedua.

Bekas beregu kebangsaan itu akan menentang pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, esok.

Dalam beregu wanita, pasangan No. 1 negara, Mei Kuan-Meng Yean menewaskan Chang Ye Na-Jung Kyung Eun dari Korea Selatan 21-13, 18-21, 21-14, sekali gus menempah pertemuan dengan pilihan utama, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun esok. - UTUSAN ONLINE