Beliau berkata ketiga-tiga pemain muda berkenaan bakal menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan pada beberapa kejohanan berpasukan akan datang termasuk pada Piala Thomas 2020.


"Inilah pemain junior yang boleh digilap kerana mereka mempunyai potensi dan juga boleh bergabung. Inilah (pemain) junior yang perlu kita pupuk dan bina," katanya kepada pemberita di hotel penginapan pasukan Piala Thomas Malaysia di sini, hari ini.


Misbun berkata demikian susulan kekalahan 1-3 pasukan negara di tangan Indonesia pada perlawanan suku akhir Piala Thomas, semalam.


Beliau berkata jika diberikan bimbingan dan pendedahan yang sepatutnya, barisan pemain muda itu akan menggalas peranan selaku pemain perseorangan negara pada saingan Piala Thomas dua tahun akan datang.


Misbun berkata pemain-pemain muda berkenaan akan membawa cabaran sebagai pemain perseorangan negara selepas pengunduran Datuk Lee Chong Wei.


Zii Jia, 20 yang diturunkan pada Piala Thomas kali ini, beliau berkata sudah membuktikan potensi besar yang dimilikinya.


"Saya merasakan dalam dua tahun, dia (Zii Jia) akan bersedia," menurutnya dan menambah, corak serta rentak permainan yang ditunjukkan Zii Jia sepanjang kempen Piala Thomas ini amat memberangsangkan.


Mengenai masa depan pemain perseorangan ketiga negara Iskandar Zulkarnain, beliau berkata keputusan itu terletak di tangan pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


Katanya, corak permainan yang dipamerkan Iskandar "ketinggalan" kira-kira lima tahun, berbanding apa yang sepatut dimilikinya.


Selain memiliki kualiti tersendiri, Iskandar menurut beliau juga baru hendak "bertapak" dalam kalangan pemain dunia yang lain.


Dalam perlawanan peringkat kumpulan menentang Denmark, skuad negara menaruh harapan terhadap Iskandar sebagai pemain perseorangan ketiga untuk menghadiahkan mata kemenangan kepada Malaysia selepas kedudukan terikat 2-2 untuk membolehkan muncul sebagai juara kumpulan.


Kejayaan menjuarai peringkat kumpulan menerusi kemenangan ke atas Denmark membolehkan Malaysia bertemu lawan lebih mudah pada suku akhir semalam, sekali gus memastikan laluan lebih selesa ke separuh akhir.


Bagaimanapun Iskandar gagal menyinar dalam perlawanan menentang Jan O Jorgensen, walaupun memenangi set pertama 21-16 sebelum tersungkur dalam dua set berikutnya 17-21 dan 14-21 di tangan pemain Denmark itu.


Kegagalan menewaskan Denmark menyebabkan skuad negara diundi bertemu Indonesia dalam saingan suku akhir semalam. Denmark pula bertemu Kanada dalam satu lagi aksi suku akhir. - BERNAMA