Paling cemerlang ialah gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang berjaya menundukkan bekas juara dunia dua kali dan juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan buat kali pertama dalam karier mereka sejak kali pertama bertemu pada 2015.

Kedua-dua pasangan itu sudah bertemu sebanyak empat kali termasuk kali terakhir V Shem-Wee Kiong tewas kepada mereka pada Terbuka Hong Kong, tahun lalu.

Pasangan bebas negara itu meraih kemenangan 21-19, 24-22 ke atas Ahsan-Hendra yang juga juara Olimpik Beijing 2008 untuk menempah pertemuan dengan pilihan ketiga dari Jepun, Hiroyoki Endo-Yuta Watanabe yang menang 27-25, 21-12 ke atas Berry Angriawan-Hardianto.

Turut ke suku akhir, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas menundukkan juara bertahan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 26-24, 21-15 untuk bertemu Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang menewaskan pasangan bebas negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen 21-13, 21-14.

Melengkapkan kemaraan negara, pasangan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang menundukkan David Daugaard-Frederik-Sogaard 21-13, 14-21, 21-10 dan mereka akan berdepan cabaran pilihan kedua dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda yang menang 21-17, 21-19 ke atas rakan senegara, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi. - UTUSAN ONLINE