Skuad negara diundi di dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Denmark, Rusia dan Algeria.

V Shem yang bergandingan bersama Tan Wee Kiong berkata, sasaran awal negara ialah menempatkan diri di suku akhir tanpa mengira sama ada menjadi juara kumpulan atau sebaliknya.

“Kalau diikutkan saingan daripada pemain beregu negara lain juga sangat kuat kerana semua sudah mula menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini tetapi saya rasa untuk melepasi peringkat kumpulan itu tiada masalah.

“Saya harap boleh bantu negara untuk dapatkan mata dan melangkah lebih jauh.

“Tidak kira sama ada jadi juara kumpulan atau tidak, yang penting kita ke suku akhir dulu kerana selepas itu pasukan akan diundi semula untuk aksi suku akhir,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

V Shem-Wee Kiong akan diturunkan selaku pasangan utama negara dalam kejohanan dwitahunan itu dan bakal berdepan cabaran getir daripada pasangan utama dunia termasuk pasangan No.1 dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, Liu Cheng-Zhang Nan (China), Takeshi Kamura-Keigo Sonoda (Jepun) dan Mathias Boe-Cartsen Mogensen (Denmark).

Sementara itu, V Shem mengakui bahawa dia sudah bersedia untuk menggalas cabaran negara di Bangkok selain berazam untuk menampilkan aksi lebih konsisten dalam usaha membantu menamatkan kemarau kejuaraan negara selepas kali terakhir menjulang trofi kejuaraan pada 1992.

Katanya, barisan kejurulatihan juga akan memilih pemain terbaik untuk menggalas cabaran negara di sana selain tidak menolak kemungkinan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin juga akan disenaraikan ke sana selain Lim Khim Wah yang mungkin diletakkan sebagai pemain gantian.