Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann menyedari hakikat itu, namun tetap meletakkan sasaran peribadi untuk melihat mereka menewaskan India dalam peringkat kumpulan, selain cuba memberi tentangan kepada juara 10 kali, China.

Dua pasukan terbaik kumpulan layak ke suku akhir.

Katanya, kejohanan di Nanning adalah langkah awal bagi mempersiapkan pemain menghadapi cabaran berpasukan akan datang termasuk Piala Thomas.

“Atas kertas memang kita tidak kuat untuk jadi pencabar tetapi secara peribadi saya mahu mereka menewaskan India.

“Dari segi perseorangan, India ada kekuatan kerana ada K. Srikanth, P.V Sindhu dan Saina (Nehwal) tetapi kita ada kekuatan di bahagian beregu.

“Kejohanan ini juga adalah persiapan awal buat pemain bagi meneruskan cabaran memburu mata ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain persediaan Piala Thomas tahun hadapan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

BAM bakal menghantar barisan campuran yang terdiri daripada pemain lama dan muka baharu, malah turut menyenaraikan beregu bebas seperti Goh V Shem-Tan Wee Kiong (lelaki) serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (campuran).

Badan induk badminton negara itu menamakan 20 pemain dalam senarai awal tetapi hanya 16 akan dibawa ke China manakala baki empat lagi berada dalam simpanan jika berlaku kecederaan ke atas pemain sedia ada.

Lee Zii Jia akan menggalas tanggungjawab besar bersama Soong Joo Ven dan Cheam June Wei dalam perseorangan lelaki selepas ketiadaan Datuk Lee Chong Wei.

Gandingan muda Aaron Chia-Soh Woi Yik pula diberi tanggungjawab dalam beregu lelaki bersama Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Nur Izzuddin Rumsani.

Beregu wanita menyaksikan BAM meletakkan kepercayaan kepada Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen manakala Goh Soon Huat-Shevon, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Chen Tang Jie akan bersaing dalam beregu campuran.