Bagaimanapun, tahun ini juga merupakan tahun yang menyaksikan berlakunya kontroversi melibatkan pemilihan pemimpin baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menggantikan presiden terdahulu Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Isu melibatkan pemilihan presiden baharu wujud selepas Tengku Mahaleel mendedahkan wujudnya gentlemen’s agreement yang menyatakan bahawa sudah ada persetujuan untuk memilih Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang ketika itu menduduki kerusi timbalan presiden selaku pemimpin tertinggi persatuan itu.

Berlaku sedikit kontroversi apabila seorang lagi timbalan presiden yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Rio 2016, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid dikatakan turut mahu bertanding jawatan No.1 BAM itu.

Perkara itu bagaimanapun berjaya diselesaikan dengan baik dan dalam pemilihan BAM yang berlangsung April lalu, Mohamad Norza dengan rasminya dilantik selaku presiden baharu sekali gus mengekalkan tradisi 32 tahun persatuan itu untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi itu, manakala Mohamed Al Amin dilantik selaku penasihat BAM.

Selepas dilantik selaku pre­siden, Mohamad Norza me­lakukan pelbagai usaha untuk memperbaiki badminton tanah air termasuk penstrukturan semula sistem kejurulatihan, pemberian insentif yang lebih baik kepada jurulatih dan pemain selain menubuhkan empat akademi badminton di seluruh negara bagi mencari lebih ramai bakat baharu.

Beliau juga membawa Datuk Misbun Sidek kembali ke dalam barisan kejurulatihan BAM.

Namun, tidak lama kemudian Mohamad Norza berdepan dengan cabaran besar apabila Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen dan jurulatih beregu lelaki yang me­raih pingat perak Sukan O­limpik Rio menerusi gandi­ngan Goh V Shem-Tan Wee Kiong iaitu Je­remy Gan bertindak melepaskan jawatan mereka.

Mengenai cabaran di peringkat antarabangsa, Mohamad Norza mengakui, Malaysia berdepan cabaran getir kerana negara-negara bukan tradisi seperti Taiwan, Hong Kong dan India sudah semakin meningkat.

“Mereka ini datang seperti Shinkansen (kereta api laju Jepun) dan perkara ini meletak­kan kita dalam keadaan bahaya kerana ramai pemain kita mengambil mudah cabaran dari negara-negara bukan tradisi ini.

“Cabaran besar menjadi presiden selepas Sukan Olimpik ialah berdepan dengan prestasi tidak menentu daripada pemain dan secara tidak langsung membuatkan Malaysia terdedah dengan kebergantungan terhadap sesetengah pemain.

“Sebagai contoh, apabila (Datuk) Lee Chong Wei me­langkah ke aksi final ke-101 di Terbuka Hong Kong dan menang, semua beranggapan bahawa badminton kita berada dalam keadaan baik secara keseluruhan, sebenarnya hanya Chong Wei sahaja yang okey bukan secara ke­seluruhan. Kita kena kembali ke alam realiti dan semak semula apa yang kita ada,” katanya.