Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedar, tahun 2019 adalah tempoh paling kritikal untuk melahirkan pemain yang mampu bergelar juara, terutama ketika kesihatan bekas pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei masih tidak menentu.

Badan badminton negara itu hanya mempunyai 18 bulan bermula dari 1 Januari 2019 untuk menyediakan program terbaik bagi mencari juara sebelum ­Olimpik membuka tirai pada 24 Julai, 2020. Tempoh kelayakan pula akan bermula Mei ini.

Badminton melakar pencapaian terbaik dalam Sukan Olimpik Rio 2016 dengan menyumbang tiga perak menerusi Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Bagaimanapun, mereka kini berdepan situasi tidak menentu terutama dengan Chong Wei masih dalam proses pemulihan daripada kanser hidung manakala V Shem-Wee Kiong berdepan masalah prestasi dan Peng Soon-Liu Ying sedang mengorak langkah menjadi pemain profesional.

“Bukan mudah untuk ulangi pencapaian 2016 dan aksi kelayakan kali ini sangat penting kerana kita tidak pernah gagal meraih pingat dalam beberapa siri Olimpik sebelum ini.

“Kita memiliki pemain-pemain muda berkualiti yang mampu dijadikan sandaran untuk 2020 dan 2024.

“Sangat penting untuk kita mencapai sasaran maksimum dua atlet dalam setiap acara yang dipertandingkan,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, beberapa kejutan berlaku pada hujung tahun ini dengan pemain senior bertindak keluar dari badan induk itu termasuk Peng Soon-Liu Ying manakala V Shem-Wee Kiong sedang mempertimbangkan untuk mengikut jejak pasangan tersebut.

Keputusan mereka bagaimanapun tidak menjejaskan persiapan negara untuk ke Tokyo 2020 kerana ia membuka lebih peluang buat pemain negara layak ke sana.

Mohamad Norza berkata, siapa sahaja yang layak beraksi ke Sukan Olimpik 2020 secara merit akan dibenarkan ke sana tanpa mengira sama ada mereka pemain profesional atau naungan BAM.

“Saya percaya lebih ramai pemain akan dapat mencipta keputusan baik.

“Persaingan sengit juga akan berlaku di antara pemain BAM dan profesional, dan ini sesuatu yang sangat baik.

“Kita secara tidak langsung membuka ruang yang luas untuk membolehkan lebih ramai pemain layak,” katanya lagi.