Tidak mahu melepaskan peluang beraksi di temasya berprestij itu, Chong Wei berkata, penampilannya dalam Sukan Asia di Jakarta pada Ogos ini sangat penting dan terakhir kerana dia tidak mungkin menyertai temasya seterusnya kerana usia akan mencecah 40 tahun.

Chong Wei dijadual beraksi pada Kejohanan Dunia pada 30 Julai hingga 5 Ogos, dan hanya mempunyai 10 hari untuk kembali bertenaga dan fokus menghadapi Sukan Asia yang berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September.

“Sukan Asia kali ini adalah terakhir. Empat tahun lagi saya tidak berpeluang untuk bermain. Saya juga akan menyertai Kejohanan Dunia sebelum itu tetapi kali ini saya tidak boleh fokus dalam semua kejohanan besar.

“Karakter saya dalam setiap kejohanan bukan sekadar menyertai tetapi saya akan berusaha untuk menang, sekiranya kalah saya perlu terima,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia, pemain No. 7 dunia itu belum pernah memenangi pingat emas Sukan Asia.

Pencapaian terbaiknya adalah satu pingat perak di Guangzhou 2010 dan dua gangsa pada 2006 (Doha) serta 2014 di Incheon.

Kata Chong Wei, dia tidak akan berhenti berusaha untuk merangkul kejuaraan dunia sepanjang kariernya kerana masih mempunyai peluang itu pada tahun depan.

“Seperti saya sering katakan, tahun ini bukan mudah, saya dan jurulatih sudah berbincang mengenai persediaan dalam kejohanan penting.

“Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri sebaliknya memastikan keadaan fizikal dan mental berada dalam tahap yang baik,” katanya. - BERNAMA